Friday, December 5, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat menyambut Hari Raya Korban diucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat manusia di seluruh dunia terutama mereka yang sedang menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Diharapkan agar mereka akan mendapat haji yang mabrur. Bercakap soal 'korban' kita dapati peristiwa korban yang bertitik tolak daripada peristiwa nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT agar menyembelih anak kesayangan baginda, nabi Ismail telah sedikit sebanyak meruntun jiwa yang sangat kompleks. Mana mungkin tidaknya kalau kita terpaksa berhadapan dengan satu dilema yang sangat sukar untuk kita membuat keputusannya. namun kecekalan, ketaatan dan keimanan dihati baginda telah menjadikan satu keajaiban apabila korban tersebut ditukarkan dengan seekor kibas. Apa yang lebih penting dalam peristiwa tersebut, kita lihat betapa tingginya ketaatan dan keimanan nabi Ibrahim a.s sehingga sanggup untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT.

Bagaimana dengan kita di sini pada hari ini? Adakah kita mampu dan sanggup untuk memenuhi segala titah perintah Allah SWT sesuai dengan kehadiran kita sendiri dalam dunia ini sebagai memenuhi pengabdian kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud "Aku ciptakan jin dan manusia hanya untuk menyembah-Ku" (Surah Adz-Dzaariyat: 56). Kalau benar segala baiah kita di luh mahfuz semasa berlakunya komunikasi 'interpersonal' di antara hamba dengan Khaliknya yang bermaksud "Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab "Ya, kami mengakui" dan seterusnya dinyatakan lagi dalam ayat yang sama, nanti dihari kiamat kamu tidak lagi dapat mengatakan, "Sesungguhnya kami lalai terhadap hakikat ini (keesaan Allah)." (Surah Al-A'raaf: 172) kalau inilah hakikatnya mengapa tidak kita pada hari ini kembali berpegang kepada Al-Qur'an dan Hadis untuk kita mencari penyelesaian dalam kemelut yang akhir-akhir ini kelihatan seolah-olah menterjemahkan suasana kebimbangan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini demikian kerana kita tidak dapat menyelami hakikat untuk mencari segala penyelesaian dalam pelbagai konflik berasaskan kepada acuan yang ditetapkan. Kita masing-masing ego dengan kebolehan dan kehebatan diri sehinggakan segala perkara kita rasakan dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan akal kita yang terbatas ini. Kita lupa bahawa ada satu lagi kuasa penentu di luar sana untuk menentukan segala qadak dan qadar yang dikehendaki dan berdasarkan kepada ketentuan-Nya setelah melalui proses usaha dan ikhtiar.

Oleh hal yang demikian marilah kita kembali kepada KEBENARAN untuk menenangkan segala keadaan keserbasalahan yang kita alami pada hari ini. 'KORBAN' kan lah sedikit amarah kita, pertingkatkannya kepada makam yang lebih baik dari semasa ke semasa agar kita dapat menduduki taraf kesempurnaan kita sebagai makhluk yang bernama manusia yang didakwakan lebih mulia daripada makhluk Allah SWT yang lain demi memakmurkan muka bumi Allah SWT ini.

No comments: