Tuesday, December 30, 2008

TERKINI TENTANG PPSMI


Sasterawan negara Profesor Muhammad Haji Salleh, "Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia".

Profesor Teo Kok Seong, "Ya! Memang, globalisasi telah memberi kesan kepada bahasa-bahasa kecil, atau kita panggil sebagai minor languages ini. Pada zaman globalisasi ini, kita melihat kemusnahan bahasa itu berlaku dengan lebih pantas. Kalau dulu, seperti yang dikatakan dalam teori bahasa, sesuatu bahasa itu akan pupus dalam rentang waktu antara 50 tahun hingga 100 tahun, iaitu kira-kira antara dua generasi hingga empat generasi. Tetapi akhir-akhir ini, semenjak adanya bahang globalisasi, kita melihat bahasa-bahasa kecil itu mulai pupus dalam satu generasi saja. Maksudnya, bahasa-bahasa kecil tidak dapat diwariskan kepada generasi yang lebih muda ini. Sebaleknya, bahasa-bahasa kecil ini kelihatannya sudah diabaikan aspek penggunaannya, yang lama-kelamaan bahasa ini akan hilang dimamah zaman."

Dr. Muhammad Saiful Haq b Hussin, "Janganlah nanti kesan yang lebih dahsyat ialah usaha ini akan menghilangkan jati diri dan akhirnya meruntuhkan ketamadunan bangsa yang telah terbina sejak dahulu lagi."
Demikianlah kemelut PPSMI yang sehingga kini tidak ada penyelesaiannya.

Sunday, December 14, 2008

PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU


TEMA : PENYEDIAAN BAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MELALUI ICT
Persidangan ini akan berlangsung selama dua hari bermula pada 16 - 17 Disember 2008. Bertempat di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Antara pemakalah dari luara negara yang akan membentangkan kertas kerja ialah Dr. Tenas Effendy, dari Indonesia, Prof. Madya Dr. Paitoon Chaiyanara (Thailand), Prof. Madya Dr. A. Pogadev (Russia), Dr. Kim Keum Hyun (Korea Selatan) dan Sayed Kamaleddin Sahlabadi (Iran). Manakala pemakalah tempatan npula terdiri daripada Prof. Dr. Mohamed Mokhtar b. Abu Hassan, Prof. Dr. Wan Abdul Kadir Wan Yusof, Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar dan Dr. Zakaria Osman serta ramai lagi.

Wednesday, December 10, 2008

Beritan Harian (11.12.2008)

Bahasa Melayu hebat

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

Keperluan memartabatkannya dibahas pada simposium di Melaka. KEUPAYAAN bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa yang mampu berfungsi dalam semua aspek kehidupan seperti perdagangan, perundangan, ilmu, ketatanegaraan, persuratan, keagamaan mahupun alat bagi membakar semangat patriotisme diperincikan pada Simposium Bahasa Melayu: Ke Mana Arahnya Dalam Merentasi Dunia Globalisasi.

Seminar sehari anjuran kerajaan Melaka dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, turut menjadi medan menonjolkan wibawa bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa dan keperluan memartabatkannya. Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Saiful Haq Hussin, menekankan kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ilmu dan perpaduan dalam pembinaan negara Malaysian yang bersatu padu. “Bahasa Melayu sejak awal perkembangannya sudah tumbuh sebagai bahasa ilmu, perdagangan, perundangan dan ketatanegaraan, persuratan mahupun keagamaan manakala dalam bidang perdagangan, ia menjadi bahasa komunikasi antara Raja-Raja Melayu dengan Syarikat Hindia Timur British dan Belanda,” katanya pada program sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Hotel Avillion Legacy, Melaka, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, bahasa ini juga digunakan dalam surat perdagangan, perjanjian jual beli antara raja-raja dan pembesar Melayu kepada British dan Belanda serta sebaliknya, Pendeta Zainal Abidin Ahmad atau Za'ba melalui tulisannya dalam bentuk puisi dan prosa Melayu sudah membuktikan bahasa Melayu indah dan ada nilai rasional. "Beliau adalah tokoh yang bertanggungjawab dalam meniupkan obor semangat kebangsaan melalui tulisannya yang diterbitkan dalam pelbagai surat khabar berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu," katanya ketika membicarakan Bahasa Melayu: Penggerak, Pemupuk dan Penterjemah Semangat Patriotisme Ke Arah Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu. Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Teo Kok Seong, pula yakin modal linguistik dari segi status dan korpus yang dimiliki bahasa Melayu, mampu berfungsi sebagai saluran komunikasi dunia globalisasi, selain wahana budaya dan tamadun moden, bukan setakat berpaksikan sains dan teknologi. “Bahasa Melayu perlu dibabitkan sepenuhnya dalam pembangunan dan kemajuan Malaysia yang berasaskan acuan sendiri dengan mengimbangkan pendidikan sains kemasyarakatan di negara ini,” katanya ketika melapah Bahasa Melayu dan Komunikasi: Menuju Era Globalisasi.

Selain itu, Dr Teo melihat bahasa Melayu bukan saja realiti sosial kepada bangsa dan masyarakat Melayu, tetapi realiti yang boleh menghubung kaitkan bangsa dan masyarakat Melayu dengan emosi, aspirasi dan nilai serta segala macam perkara berhubung Melayu. "Kemusnahan bahasa Melayu boleh menyebabkan ia lenyap buat selama-lamanya. Bukan saja banyak kenangan dan ilmu pengetahuan boleh ikut musnah, tetapi turut menyebabkan kebolehgunaan bahasa itu hilang sedangkan sistem linguistiknya utuh,” jelasnya. Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rusli Abdul Ghani, pula berkata badan berkanun terbabit berjaya membina dan membentuk istilah dalam pelbagai bidang ilmu dan berjaya menghasilkan pedoman umum ejaan dan piawai yang disepakati Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim). "Usaha membina korpus bahasa Melayu sehingga kini sudah mencapai saiz 120 juta perkataan dan masalahnya bukan lagi saiz korpus tetapi bilangan peneliti yang menggunakan korpus ini untuk membuat kajian bahasa," katanya ketika membedah Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia.

Monday, December 8, 2008

MUHASABAH DIRI

MENGENAL DIRI

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Tidakkah Aku ini Tuhan engkau? Mereka menjawab bahkan?


Atau dalam versi lain diterjemahkan sebagai:

"Bukankah Aku Tuhan kamu". Mereka berkata: "Betul, kami menyaksikan."

(Surah Al-A’raf : 172)

Walau apa pun terjemahan yang dilakukan, namun intisari maknanya tetap sama. Sesungguhnya dalam persoalan ini kita akan kembali kepada fitrah, maka selama mana seseorang itu mengenali dirinya maka akan selama itu lah kehidupannya tidak akan tersasar daripada landasan. Mereka akan sentiasa berada di dalam lingkungan keredaan dan kerahmatan Illahi.

Bagi menepati natijah kejadian manusia ini kita akan sering bertanya kepada diri. SIAPAKAH KITA? DARI MANA KITA, DAN AKAN KE MANA KITA? Persoalan ini jika dihayati dan ditelusuri akan maknanya yang tersirat dan tersurat kita akan sentiasa berada dalam keinsafan kerana kita sebagai baka anak Adam a.s tidak akan berkesudahan dengan fasa kematian untuk menepati janji Allah SWT bahawa setiap yang hidup itu akan merasai kematian. Nah, kalau itulah premis kita dalam soal hakikat ini mengapa harus kita gusarkan lagi pemikiran kita.

Kita haruslah sentiasa melihat cermin hati kerana orang yang suci akan hati, jiwa, ruh dan kalbunya sahaja yang akan dapat melihat ’wajah’ Tuhan dan akan tenggelam di dalam Zat Allah SWT (makam yang bukan mudah untuk dicapai).

Oleh hal yang demikian, maka haruslah dilihat dengan jelas tentang riya’ kerana janji Tuhan adalah jelas. Barangsiapa yang riya’ maka segala pahala amalannya akan terhapus sebagaimana secara analoginya ”Seperti api yang memakan sekam”. Berbalik kita kepada sesiapa yang merasakan dirinya adalah segala-galanya maka bertaubatlah kerana ilmu Tuhan yang ada di atas muka bumi ini diumpakan sebagai sebatang jarum yang dimasukkan ke dalam lautan dan air yang melekat pada jarum itulah segala ilmu yang diberikan oleh Allah SWT. Oleh hal yang demikian maka kita ditunut oleh ISLAM untuk menuntut ilmu sampai ke liang lahad. Adakah kita sudah memenuhi tuntutan tersebut. Ilmu yang dikamsudkan itu adalah ilmu yang berpaksikan kepada ketauhidan terhadapa Allah SWT sama ada yang bersifat vertikal dalam konteks memenuhi tuntutan hablun minnallah, mau pun yang bersifat horizontal bagi memenuhi tuntutan hablun minnannas demi melengkapkan apa yang dikataka fardu ain dan fardu kifayah.

Kemungkinan di satu sudut yang lain kita perlu melihat satu lagi sifat manusia yang barangkali sentiasa terlepas pandang atau kita sengaja tidak mahu menyedarinya. Sifat yang dimaksudkan ialah ”HASAD DENGKI” yang barangkalinya perlu kita sedarkan kepada sesiapa sahaja yang berada di dalam kepompongnya. Ekoran daripada perasaaan ini akan melahirkan PENGKHIANAT. Hal ini kerana sudah banyak cerita dan peristiwa termasuklah yang difirmankan dalam al-Qur’an menyatakan tentang perkara tersebut dan kalau dilihat secara keseluruhannya sifat ini lebih BERBAHAYA daripada sifat riya’ (anggapan) kerana hasad dengki boleh menyebabkab kacau bilau dalam masyarakat hasil daripada adu domba yang dilakukan oleh Penghasad melalui fitnah-fitnah jika tidak dikawal. Kesan seterusnya akan melemahkan kekuatan seseorang dan akan menjadikan timbunan dalam komuniti dan seterusnya akan MELUNTURKAN kekuatan dan boleh MERUNTUHKAN ketamadunan satu-satu bangsa itu. Lantaran itu maka JANGANLAH KITA IZINKAN LAGI KEMUNAFIKAN PATEH KARMA WIJAYA dalam era modenisasi ini kembali bersarang di dalam diri kita. Kerana perbuatan tersebut boleh meruntuhkan benteng ketamadunan Melayu. Cukuplah dengan keruntuhan Kota Melaka yang tercatat dalam Sejarah Melayu itu. Sekarang marilah kita kembali membina tembok kekuatan di dalam diri dengan berusaha untuk membentengi hati-hati kita daripada perasaan tersebut.

Menginsafi segala apa yang telah diperkatakan itu, marilah kita kembali kepada LANGKAH-LANGKAH MENUJU ALLAH. Kita tinggalkan amma-rah kita. Lontarkanlah jauh-jauh sifat:
Bakhil.
Tamak dan lobakan harta dunia.
Panjang angan-angan.
Sombong takkabur.
Ingin dan kasihkan kemegahan.
Ingin masyhur dan terkenal.
Hasad-dengki.
Dendam-kesumat.
Khianat dan niat jahat
Lalai kepada Allah SWT.
Dan lain-lain yang seumpamnya.

Tingkatkanlah nafsu kita ke makam yang lebih tinggi dari satu peringkat kepada satu peringkat sebagaimana:
2. Nafsu Lawwa-mah.
3. Nafsu Mulhamah.
4. Nafsu Mutma-innah.
5. Radhiah.
6. Mardhiyyah dan
7. Kamil (sempurna).

Tekunilah perjalanan nafsu kita itu agar kita akan memperoleh apa yang kita inginkan dan kita akan sentiasa berada di dalam KEREDHAAN dan KERAHMATAN-NYA, Insya-Allah.

Sekadar renungan.

Friday, December 5, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat menyambut Hari Raya Korban diucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat manusia di seluruh dunia terutama mereka yang sedang menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Diharapkan agar mereka akan mendapat haji yang mabrur. Bercakap soal 'korban' kita dapati peristiwa korban yang bertitik tolak daripada peristiwa nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT agar menyembelih anak kesayangan baginda, nabi Ismail telah sedikit sebanyak meruntun jiwa yang sangat kompleks. Mana mungkin tidaknya kalau kita terpaksa berhadapan dengan satu dilema yang sangat sukar untuk kita membuat keputusannya. namun kecekalan, ketaatan dan keimanan dihati baginda telah menjadikan satu keajaiban apabila korban tersebut ditukarkan dengan seekor kibas. Apa yang lebih penting dalam peristiwa tersebut, kita lihat betapa tingginya ketaatan dan keimanan nabi Ibrahim a.s sehingga sanggup untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT.

Bagaimana dengan kita di sini pada hari ini? Adakah kita mampu dan sanggup untuk memenuhi segala titah perintah Allah SWT sesuai dengan kehadiran kita sendiri dalam dunia ini sebagai memenuhi pengabdian kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud "Aku ciptakan jin dan manusia hanya untuk menyembah-Ku" (Surah Adz-Dzaariyat: 56). Kalau benar segala baiah kita di luh mahfuz semasa berlakunya komunikasi 'interpersonal' di antara hamba dengan Khaliknya yang bermaksud "Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab "Ya, kami mengakui" dan seterusnya dinyatakan lagi dalam ayat yang sama, nanti dihari kiamat kamu tidak lagi dapat mengatakan, "Sesungguhnya kami lalai terhadap hakikat ini (keesaan Allah)." (Surah Al-A'raaf: 172) kalau inilah hakikatnya mengapa tidak kita pada hari ini kembali berpegang kepada Al-Qur'an dan Hadis untuk kita mencari penyelesaian dalam kemelut yang akhir-akhir ini kelihatan seolah-olah menterjemahkan suasana kebimbangan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini demikian kerana kita tidak dapat menyelami hakikat untuk mencari segala penyelesaian dalam pelbagai konflik berasaskan kepada acuan yang ditetapkan. Kita masing-masing ego dengan kebolehan dan kehebatan diri sehinggakan segala perkara kita rasakan dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan akal kita yang terbatas ini. Kita lupa bahawa ada satu lagi kuasa penentu di luar sana untuk menentukan segala qadak dan qadar yang dikehendaki dan berdasarkan kepada ketentuan-Nya setelah melalui proses usaha dan ikhtiar.

Oleh hal yang demikian marilah kita kembali kepada KEBENARAN untuk menenangkan segala keadaan keserbasalahan yang kita alami pada hari ini. 'KORBAN' kan lah sedikit amarah kita, pertingkatkannya kepada makam yang lebih baik dari semasa ke semasa agar kita dapat menduduki taraf kesempurnaan kita sebagai makhluk yang bernama manusia yang didakwakan lebih mulia daripada makhluk Allah SWT yang lain demi memakmurkan muka bumi Allah SWT ini.

Thursday, November 27, 2008

WARISAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN?



MAKYUNG MENGEMBALIKAN NOSTALGIA
Pada 28.11.2008 bunyi nada sms telefon saya menarik perhatian kerana pada waktu-waktu begini biasanya saya jarang sekali menerima sms kecuali semasa sesi semester berlangsung. Namun sambil menghirup kopi o panas dalam bilik pejabat dan meneliti kertas kerja yang akan dibentangkan nanti saya gagahi juga untuk membaca kandungan mesejnya. Ternyata saya tidak merasakan satu kerugian malah berterima kasih kepada rakan yang memaklumkan tentang program persembahan Makyung yang akan diadakan di MATIC pada sebelah malamnya bermula pada jam 8.30 malam. Persembahan ini akan terus berlangsung sehingga 30.11.2008, sila lah hadir untuk memberikan sokongan kepada warisan kesenian bangsa ini.

Selepas turun dari pejabat dan keadaan hujan yang lebat di luar sana saya gagahi juga semangat dan iltizam untuk menghadiri persembahan tersebut. Keghairahan ini terjadi kerana saya teringat kembali sewaktu alam kanak-kanak saya semasa dibesarkan di Kota Bharu. Pada setiap tahun akan diadakan persembahan permainan tradisional secara besar-besaran diperkarangan Stadium Sultan Muhamad keIV sempena dengan ulangtahun keputeraan ke bawah D.Y.M.M Al-Sultan Kelantan atau dikenali juga sebagai 'Pesta Puja Umur'.

Namun kenangan silam tak mungkin akan dapat dikembalikan dalam keadaan asalnya kerana sejarah tetap akan meninggalkan fakta sejarahnya. Namun hari-hari muka akan tetap kita hadapi dan jalani dalam konteks situasinya. Penadaptasian Makyung pada malam tadi memperlihatkan suasana keasliannya yang dimainkan di atas sebuah bangsal yang dibina kukuh dengan menggunakan tiang batang nibung dan beratapkan nipah tidak lagi mendominasi suasana semulajadinya, walaupun ada sebuah replika rumah kampung pada zaman dahulu yang dipaparkan didalam pra persembahan sebelum memasuki dewan persembahan.

Namun demikian yang lebih mendukacitakan saya ialah setelah sekian lama warisan persembahan Makyung yang kalau mengikut catatan sarjana menyatakan bahhawa sudah ratusan tahun permainan tradisi itu wujud. Pada hari ini walau pun sudah tercatat bahawa tarafnya diangkat dan dikategorikan dalam World Heritage dengan ciri-cirinya yang dikatakan ekstravaganza (Komposisi drama yang penuh dengan unsur-unsur khayalan, hal-hal yang aneh atau luar biasa).

Dari sudut yang lain pula bagaimana dengan usaha-usaha yang diadakan oleh negara kita sendiri dalam usaha untuk menjadikan Permainan Makyug ini terus dapat dilestarikan demi kesinambungan warisan bangsa yang sekali gus dikatakan dapat mengidentifikasikan bangsa melalui identiti kebudayaannya. Semua kaedah dan pendekatan yang diambil untuk tujuan pemuliharaannya perlulah dilakukan secara bersepadu dan berhemah agar warisan budaya bangsa yang tidak ternilai ini akan dapat diperkasakan.

Sunday, November 16, 2008

RASIONALNYA KEPUTUSAN UPSR 2008

APA PENDIRIAN KITA?

"Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid." Lapor sebuah akhbar perdana ekoran daripada keputusan UPSR 2008 yang baru sahaja diumumkan.

Saya secara peribadinya melihat keputusan tersebut dari dua persepsi, iaitu persepsi yang pertama saya merasa sangat bangga dengan pencapaian tersebut. "Daripada 518,616 calon UPSR seramai 46,641 orang atau 9.2 peratus mendapat semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil, berbanding 7.8 peratus lima tahun sebelumnya." kata KPPM. Namun daripada satu sudut yang lain pula ialah bagaimana pula dengan nasib dan bilangan pelajar yang tidak tergolong dalam tahap kecemerlangan itu yang berjumlah 471,975 atau 90.8% lebih-lebih lagi yang tergolong dalam tahap pencapaian gred D dan E.

Saban tahun setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan kita selalu didendangkan dengan kegembiraan di atas pencapaian tersebut. Tidak kurang juga paparan berita dengan gambar-gambar yang menarik seperti pelajar memegang wang hasil daripada hadiah dan habuan yang mereka peroleh itu dalam bentuk material. Hal begini sekaligus memperlihatkan yang kita telah menanamkan bibit-bibit materialisme ke dalam sanubari mereka tanpa memikirkan kesannya ke atas psikologi dan sikap yang akan mereka terjemahkan nanti.

Dari sudut yang lain pula, diluar sana pernahkah kita melihat dan menangisi nasib yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang keciciran ini, walau pun impian dan harapan ibu bapa mereka sama sahaja. Mereka terpaksa bertungkus lumus memberikan dan menyediakan kepada anak-anak mereka dengan memberi makan-minum, pakaian dan pendidikan yang berkemungkinan begitu menyeksakan untuk mereka mengajar anak-anak mereka dalam bahasa yang mereka sendiri tidak mengetahuinya. Nah, kalau kita sebenar-benarnya melaksanakan tugas dan tanggung jawab maka di sana lah menanti dan menunggunya kerja-kerja kita yang belum selesai. Ingatlah perjuangan bukan sahaja belum selesai malah pastinya perjuangan yang tak akan selesai-selesai. Bukan hanya sekadar berbangga dengan angka-angka yang boleh melunakkan pandangan dan pendengaran sahaja.

Di sana anak-anak yang keciciran (rata-ratanya didominasikan oleh golongan pelajar di kawasan luar bandar) sering merasakan yang diri mereka terabai dan tersisih. Golongan mereka sering dinafikan haknya, pendidikan imbuhan dan sistem pendidikan yang sewajar dan sepatutnya tidak diberikan kepada mereka. Malah salsilah keluarga mereka mungkin akan diungkit kembali untuk terus menghentam golongan ini. Mereka juga dikatakan penyumbang kepada peningkatan peratusan penyelewengan sosial yang berlaku. Apakah ini semua adil untuk diterima oleh mereka? Sedangkan kita seolah-olah tidak pernah memikirkan nasib mereka. Kalau ada pun usaha tersebut dilihat tidak begitu serius.

Andainya permasalahan ini tidak ditangani dan berterusan berlaku saban tahun tunggulah saat dan ketikanya kita juga akan turut merasakan tempias atas apa yang akan mereka lakukan diluar sana. Hari ini kita boleh berkata yang anak kita berjaya yang keciciran bukanlah milik anak buah dan saudara mara kita tapi setelah golongan dan kumpulan yang keciciran ini mendominasi komuniti di luar sana lihatnya suatu hari nanti yang kita juga tidak akan aman untuk menjalani kehidupan dalam suasana mereka di luar sana dengan pelbagai karenah.

Dari itu, marilah kita sama-sama turut merenungi nasib dan rintihan golongan tersebut serta sedar dan insaflah bahawa tanpa tangan-tangan ibu bapa mereka yang memberikan sedikit kuasa (berasaskan hukum sebab dan akibat) yang ada pada hari ini jika tidak diaplikasikan dengan sebaik mungkin, adalah tidak mustahil yang tangan-tangan itulah juga yang akan merungkai segalanya apabila tiba masanya kelak.

Thursday, November 13, 2008

BAHASA MELAYU

KE MANA ARAHNYA ?

Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu (BM) sebagai wahana tamadun yang relevan bagi pembinaan bangsa dan negara sejak dari dahulu lagi, khususnya dalam konteks pencapaian kemajuan dengan berasaskan acuan sendiri. Semua kejayaan yang telah dicapai itu sudah cukup memuaskan dan tiada kekurangan dan masalahnya. Oleh hal yang demikian peminggiran peranan BM dalam proses pembinaan negara tidak boleh dimaafkan sama sekali. Proses pembinaan negara yang turut melibatkan Dasar Bahasa Kebangsaan secara langsung sejak kemerdekaan, ternyata telah berjaya meletakkan negara pada tahap yang cukup membanggakan dan berupaya mengujudkan perpaduan di antara kaum. Dasar akan tetap relevan dan ampuh untuk kelangsungan tamadun bangsa dan negara ini selanjutnya, dan menjadi kesalahan besar sekiranya terdapat apa-apa percubaan untuk melemahkan apatah lagi merobohkannya. Hal i ni demikian kerana segala apa yang dilalui oleh BM dalam menentukan perjalanan dan hala tujunya adalah selari dengan peruntukan undang-undang yang telah dijamin oleh Perlembagaan dibawah Perkara 152. Apakah begitu sulit untuk ditafsirkan undang-undang tersebut? Adakah sesukar untuk kita berhujah dalam usaha untuk memperoleh Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa, walau pun kita terpaksa berputih mata dengan Pulau Batu Putih. Oleh sebab itu adalah tidak mustahil kita barangkalinya memerlukan waktu puluhan tahun, malah mungkin lebih atau tidak terhitung akan batas waktunya, untuk membina semula kekuatan bangsa dan negara yang telah utuh itu andai kata dasar Bahasa Kebangsaan yang terbukti berkesan itu 'diperkosakan' dan 'dilacurkan'. Janganlah sampai suatu hari nanti kuburan kita tidak lagi disirami dan ditaburkan dengan haruman mawar malah sebaliknya ianya akan disirami dan ditaburi kencing dan najis mereka untuk meletakkan kesalahan kerana kealpaan kita untuk mempertahankan Bahasa Melayu yang sangat dicintai.

Saturday, November 8, 2008

PERBINCANGAN MEJA BULAT "TUNTUTAN MELAYU"


Pada 8.11.2008 bersamaan dengan hari Sabtu yang lepas telah berlangsung satu persidangan meja bulat. Persidangan tersebut membicarakan tentang sebuah buku yang berjudul "TUNTUTAN MELAYU" yang ditulis oleh Dato' Malik Munip bertempat di rumah GAPENA. Persidangan tersebut yang turut melibatkan para cendekiawan dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Majlis persidangan dipengerusikan oleh Prof. Madya Datuk Hj. Zainal Abidin Borhan yang juga selaku Setiausaha Satu GAPENA. Pengisian program dimulakan dengan ulasan yang diberikan oleh penulis bagi melengkapkan lagi apa yang terkandung di dalam buku tersebut. Majlis kemudiannya disusuli dengan sesi soal jawab dan diakhiri dengan kenyataan akhbar oleh Tan Sri Prof. Emiritus Dato' (Dr.) Pendeta Haji Ismail Hussin selaku Ketua Satu GAPENA. InsyaAllah GAPENA akan berusaha untuk mengulang cetak buku tersebut secepat mungkin.

Tuesday, October 28, 2008

PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU


Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu (PEAPMICT 2008) akan diadakan pada 16 hingga 17 Disember 2008. Keterangan dan maklumat lanjut sila rujuk brosur .

Assalamualaikum

Selamat datang diucapkan kepada pembaca dan para pengunjung yang budiman. Sesungguhnya saya mengalu-alukan sebarang komen dan teguran yang membina untuk tujuan penambahbaikan dalam usaha untuk memantap dan menyempurnakan blog saya ini.