Thursday, November 27, 2008

WARISAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN?



MAKYUNG MENGEMBALIKAN NOSTALGIA
Pada 28.11.2008 bunyi nada sms telefon saya menarik perhatian kerana pada waktu-waktu begini biasanya saya jarang sekali menerima sms kecuali semasa sesi semester berlangsung. Namun sambil menghirup kopi o panas dalam bilik pejabat dan meneliti kertas kerja yang akan dibentangkan nanti saya gagahi juga untuk membaca kandungan mesejnya. Ternyata saya tidak merasakan satu kerugian malah berterima kasih kepada rakan yang memaklumkan tentang program persembahan Makyung yang akan diadakan di MATIC pada sebelah malamnya bermula pada jam 8.30 malam. Persembahan ini akan terus berlangsung sehingga 30.11.2008, sila lah hadir untuk memberikan sokongan kepada warisan kesenian bangsa ini.

Selepas turun dari pejabat dan keadaan hujan yang lebat di luar sana saya gagahi juga semangat dan iltizam untuk menghadiri persembahan tersebut. Keghairahan ini terjadi kerana saya teringat kembali sewaktu alam kanak-kanak saya semasa dibesarkan di Kota Bharu. Pada setiap tahun akan diadakan persembahan permainan tradisional secara besar-besaran diperkarangan Stadium Sultan Muhamad keIV sempena dengan ulangtahun keputeraan ke bawah D.Y.M.M Al-Sultan Kelantan atau dikenali juga sebagai 'Pesta Puja Umur'.

Namun kenangan silam tak mungkin akan dapat dikembalikan dalam keadaan asalnya kerana sejarah tetap akan meninggalkan fakta sejarahnya. Namun hari-hari muka akan tetap kita hadapi dan jalani dalam konteks situasinya. Penadaptasian Makyung pada malam tadi memperlihatkan suasana keasliannya yang dimainkan di atas sebuah bangsal yang dibina kukuh dengan menggunakan tiang batang nibung dan beratapkan nipah tidak lagi mendominasi suasana semulajadinya, walaupun ada sebuah replika rumah kampung pada zaman dahulu yang dipaparkan didalam pra persembahan sebelum memasuki dewan persembahan.

Namun demikian yang lebih mendukacitakan saya ialah setelah sekian lama warisan persembahan Makyung yang kalau mengikut catatan sarjana menyatakan bahhawa sudah ratusan tahun permainan tradisi itu wujud. Pada hari ini walau pun sudah tercatat bahawa tarafnya diangkat dan dikategorikan dalam World Heritage dengan ciri-cirinya yang dikatakan ekstravaganza (Komposisi drama yang penuh dengan unsur-unsur khayalan, hal-hal yang aneh atau luar biasa).

Dari sudut yang lain pula bagaimana dengan usaha-usaha yang diadakan oleh negara kita sendiri dalam usaha untuk menjadikan Permainan Makyug ini terus dapat dilestarikan demi kesinambungan warisan bangsa yang sekali gus dikatakan dapat mengidentifikasikan bangsa melalui identiti kebudayaannya. Semua kaedah dan pendekatan yang diambil untuk tujuan pemuliharaannya perlulah dilakukan secara bersepadu dan berhemah agar warisan budaya bangsa yang tidak ternilai ini akan dapat diperkasakan.

No comments: