Tuesday, December 30, 2008

TERKINI TENTANG PPSMI


Sasterawan negara Profesor Muhammad Haji Salleh, "Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia".

Profesor Teo Kok Seong, "Ya! Memang, globalisasi telah memberi kesan kepada bahasa-bahasa kecil, atau kita panggil sebagai minor languages ini. Pada zaman globalisasi ini, kita melihat kemusnahan bahasa itu berlaku dengan lebih pantas. Kalau dulu, seperti yang dikatakan dalam teori bahasa, sesuatu bahasa itu akan pupus dalam rentang waktu antara 50 tahun hingga 100 tahun, iaitu kira-kira antara dua generasi hingga empat generasi. Tetapi akhir-akhir ini, semenjak adanya bahang globalisasi, kita melihat bahasa-bahasa kecil itu mulai pupus dalam satu generasi saja. Maksudnya, bahasa-bahasa kecil tidak dapat diwariskan kepada generasi yang lebih muda ini. Sebaleknya, bahasa-bahasa kecil ini kelihatannya sudah diabaikan aspek penggunaannya, yang lama-kelamaan bahasa ini akan hilang dimamah zaman."

Dr. Muhammad Saiful Haq b Hussin, "Janganlah nanti kesan yang lebih dahsyat ialah usaha ini akan menghilangkan jati diri dan akhirnya meruntuhkan ketamadunan bangsa yang telah terbina sejak dahulu lagi."
Demikianlah kemelut PPSMI yang sehingga kini tidak ada penyelesaiannya.

3 comments:

yus_anakmelayu said...

Isu penggunaan bahasa penjajah sebagai bahasa perantaraan ketika pembelajaran matematik dan sains bukan lagi isu kecil. Keadaan ini seolah-olah kta membawa semula Inggeris untuk menjajah dan menakluk kita. Wahai bangsa Melayu, sedarkah anda yang anda bukan lagi bangsa Melayu? Atau mungkin anda meyakini bahawa bangsa Melayu tetap dipanggil Melayu tanpa bahasa Melayu? Jika begitulah hakikatnya, aku malu menjadi manusia bergelar MELAYU..
maaf Dr. sedikit kasar bahasa. =) -yus- Akademi Pengajian Melayu

kerismas said...

Nak memajukan bahasa Melayu mudah saja!Banyakkan buku2 rujukan dalam B.Melayu!Kebanyakan buku2 rujukan di universiti pun dalam b.Inggeris!Para2 ilmuwan Melayu hendaklah rajin menterjemahkan ke dalam b.Melayu!Dah buat dasar PPSMI baru terhegeh2 nak kata b.Melayu bahasa ilmu!Aku bangga aku Orang Melayu! kerana bangsa Melayu yang sebenarnya suka menguasai ilmu!Aku bangga aku orang Melayu kerana orang Melayu sebenar boleh menguasai pelbagai bahasa sebagaimana Laksamana Hang Tuah!

oghePekan said...

Permasalahan terpenting tentang mendaulatkan Bahasa Melayu ialah terdapatnya dua versi Bahasa Melayu iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, walaupun telah diadakan persepakatan anrata pehak yang berwajib, tetapi seolah-olah wujud persaingan yang serius untuk merebut khalayak pengguna antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sedangkan keduanya dikatakan serumpun. Jumlan pengguna Bahasa Melayu hanyalah 25 juta orang sedangkan pengguna Bahasa Indonesia ialah 200 juta orang. Pengguna Bahasa Melayu yang berjumlah hanya 25 juta orang saja yang sebok mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia sedangkan pengguna yang berjumlah 200 juta orang lagi tu entah apa-apa. Pada pandangan saya agaknya inilah yang menjadi percaturan orang yang memperkenalkan PPSMSI...