Sunday, November 16, 2008

RASIONALNYA KEPUTUSAN UPSR 2008

APA PENDIRIAN KITA?

"Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid." Lapor sebuah akhbar perdana ekoran daripada keputusan UPSR 2008 yang baru sahaja diumumkan.

Saya secara peribadinya melihat keputusan tersebut dari dua persepsi, iaitu persepsi yang pertama saya merasa sangat bangga dengan pencapaian tersebut. "Daripada 518,616 calon UPSR seramai 46,641 orang atau 9.2 peratus mendapat semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil, berbanding 7.8 peratus lima tahun sebelumnya." kata KPPM. Namun daripada satu sudut yang lain pula ialah bagaimana pula dengan nasib dan bilangan pelajar yang tidak tergolong dalam tahap kecemerlangan itu yang berjumlah 471,975 atau 90.8% lebih-lebih lagi yang tergolong dalam tahap pencapaian gred D dan E.

Saban tahun setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan kita selalu didendangkan dengan kegembiraan di atas pencapaian tersebut. Tidak kurang juga paparan berita dengan gambar-gambar yang menarik seperti pelajar memegang wang hasil daripada hadiah dan habuan yang mereka peroleh itu dalam bentuk material. Hal begini sekaligus memperlihatkan yang kita telah menanamkan bibit-bibit materialisme ke dalam sanubari mereka tanpa memikirkan kesannya ke atas psikologi dan sikap yang akan mereka terjemahkan nanti.

Dari sudut yang lain pula, diluar sana pernahkah kita melihat dan menangisi nasib yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar yang keciciran ini, walau pun impian dan harapan ibu bapa mereka sama sahaja. Mereka terpaksa bertungkus lumus memberikan dan menyediakan kepada anak-anak mereka dengan memberi makan-minum, pakaian dan pendidikan yang berkemungkinan begitu menyeksakan untuk mereka mengajar anak-anak mereka dalam bahasa yang mereka sendiri tidak mengetahuinya. Nah, kalau kita sebenar-benarnya melaksanakan tugas dan tanggung jawab maka di sana lah menanti dan menunggunya kerja-kerja kita yang belum selesai. Ingatlah perjuangan bukan sahaja belum selesai malah pastinya perjuangan yang tak akan selesai-selesai. Bukan hanya sekadar berbangga dengan angka-angka yang boleh melunakkan pandangan dan pendengaran sahaja.

Di sana anak-anak yang keciciran (rata-ratanya didominasikan oleh golongan pelajar di kawasan luar bandar) sering merasakan yang diri mereka terabai dan tersisih. Golongan mereka sering dinafikan haknya, pendidikan imbuhan dan sistem pendidikan yang sewajar dan sepatutnya tidak diberikan kepada mereka. Malah salsilah keluarga mereka mungkin akan diungkit kembali untuk terus menghentam golongan ini. Mereka juga dikatakan penyumbang kepada peningkatan peratusan penyelewengan sosial yang berlaku. Apakah ini semua adil untuk diterima oleh mereka? Sedangkan kita seolah-olah tidak pernah memikirkan nasib mereka. Kalau ada pun usaha tersebut dilihat tidak begitu serius.

Andainya permasalahan ini tidak ditangani dan berterusan berlaku saban tahun tunggulah saat dan ketikanya kita juga akan turut merasakan tempias atas apa yang akan mereka lakukan diluar sana. Hari ini kita boleh berkata yang anak kita berjaya yang keciciran bukanlah milik anak buah dan saudara mara kita tapi setelah golongan dan kumpulan yang keciciran ini mendominasi komuniti di luar sana lihatnya suatu hari nanti yang kita juga tidak akan aman untuk menjalani kehidupan dalam suasana mereka di luar sana dengan pelbagai karenah.

Dari itu, marilah kita sama-sama turut merenungi nasib dan rintihan golongan tersebut serta sedar dan insaflah bahawa tanpa tangan-tangan ibu bapa mereka yang memberikan sedikit kuasa (berasaskan hukum sebab dan akibat) yang ada pada hari ini jika tidak diaplikasikan dengan sebaik mungkin, adalah tidak mustahil yang tangan-tangan itulah juga yang akan merungkai segalanya apabila tiba masanya kelak.

No comments: