Thursday, November 13, 2008

BAHASA MELAYU

KE MANA ARAHNYA ?

Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu (BM) sebagai wahana tamadun yang relevan bagi pembinaan bangsa dan negara sejak dari dahulu lagi, khususnya dalam konteks pencapaian kemajuan dengan berasaskan acuan sendiri. Semua kejayaan yang telah dicapai itu sudah cukup memuaskan dan tiada kekurangan dan masalahnya. Oleh hal yang demikian peminggiran peranan BM dalam proses pembinaan negara tidak boleh dimaafkan sama sekali. Proses pembinaan negara yang turut melibatkan Dasar Bahasa Kebangsaan secara langsung sejak kemerdekaan, ternyata telah berjaya meletakkan negara pada tahap yang cukup membanggakan dan berupaya mengujudkan perpaduan di antara kaum. Dasar akan tetap relevan dan ampuh untuk kelangsungan tamadun bangsa dan negara ini selanjutnya, dan menjadi kesalahan besar sekiranya terdapat apa-apa percubaan untuk melemahkan apatah lagi merobohkannya. Hal i ni demikian kerana segala apa yang dilalui oleh BM dalam menentukan perjalanan dan hala tujunya adalah selari dengan peruntukan undang-undang yang telah dijamin oleh Perlembagaan dibawah Perkara 152. Apakah begitu sulit untuk ditafsirkan undang-undang tersebut? Adakah sesukar untuk kita berhujah dalam usaha untuk memperoleh Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa, walau pun kita terpaksa berputih mata dengan Pulau Batu Putih. Oleh sebab itu adalah tidak mustahil kita barangkalinya memerlukan waktu puluhan tahun, malah mungkin lebih atau tidak terhitung akan batas waktunya, untuk membina semula kekuatan bangsa dan negara yang telah utuh itu andai kata dasar Bahasa Kebangsaan yang terbukti berkesan itu 'diperkosakan' dan 'dilacurkan'. Janganlah sampai suatu hari nanti kuburan kita tidak lagi disirami dan ditaburkan dengan haruman mawar malah sebaliknya ianya akan disirami dan ditaburi kencing dan najis mereka untuk meletakkan kesalahan kerana kealpaan kita untuk mempertahankan Bahasa Melayu yang sangat dicintai.

No comments: