Wednesday, December 10, 2008

Beritan Harian (11.12.2008)

Bahasa Melayu hebat

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

Keperluan memartabatkannya dibahas pada simposium di Melaka. KEUPAYAAN bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa yang mampu berfungsi dalam semua aspek kehidupan seperti perdagangan, perundangan, ilmu, ketatanegaraan, persuratan, keagamaan mahupun alat bagi membakar semangat patriotisme diperincikan pada Simposium Bahasa Melayu: Ke Mana Arahnya Dalam Merentasi Dunia Globalisasi.

Seminar sehari anjuran kerajaan Melaka dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, turut menjadi medan menonjolkan wibawa bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa dan keperluan memartabatkannya. Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Saiful Haq Hussin, menekankan kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ilmu dan perpaduan dalam pembinaan negara Malaysian yang bersatu padu. “Bahasa Melayu sejak awal perkembangannya sudah tumbuh sebagai bahasa ilmu, perdagangan, perundangan dan ketatanegaraan, persuratan mahupun keagamaan manakala dalam bidang perdagangan, ia menjadi bahasa komunikasi antara Raja-Raja Melayu dengan Syarikat Hindia Timur British dan Belanda,” katanya pada program sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Hotel Avillion Legacy, Melaka, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, bahasa ini juga digunakan dalam surat perdagangan, perjanjian jual beli antara raja-raja dan pembesar Melayu kepada British dan Belanda serta sebaliknya, Pendeta Zainal Abidin Ahmad atau Za'ba melalui tulisannya dalam bentuk puisi dan prosa Melayu sudah membuktikan bahasa Melayu indah dan ada nilai rasional. "Beliau adalah tokoh yang bertanggungjawab dalam meniupkan obor semangat kebangsaan melalui tulisannya yang diterbitkan dalam pelbagai surat khabar berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu," katanya ketika membicarakan Bahasa Melayu: Penggerak, Pemupuk dan Penterjemah Semangat Patriotisme Ke Arah Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu. Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Teo Kok Seong, pula yakin modal linguistik dari segi status dan korpus yang dimiliki bahasa Melayu, mampu berfungsi sebagai saluran komunikasi dunia globalisasi, selain wahana budaya dan tamadun moden, bukan setakat berpaksikan sains dan teknologi. “Bahasa Melayu perlu dibabitkan sepenuhnya dalam pembangunan dan kemajuan Malaysia yang berasaskan acuan sendiri dengan mengimbangkan pendidikan sains kemasyarakatan di negara ini,” katanya ketika melapah Bahasa Melayu dan Komunikasi: Menuju Era Globalisasi.

Selain itu, Dr Teo melihat bahasa Melayu bukan saja realiti sosial kepada bangsa dan masyarakat Melayu, tetapi realiti yang boleh menghubung kaitkan bangsa dan masyarakat Melayu dengan emosi, aspirasi dan nilai serta segala macam perkara berhubung Melayu. "Kemusnahan bahasa Melayu boleh menyebabkan ia lenyap buat selama-lamanya. Bukan saja banyak kenangan dan ilmu pengetahuan boleh ikut musnah, tetapi turut menyebabkan kebolehgunaan bahasa itu hilang sedangkan sistem linguistiknya utuh,” jelasnya. Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rusli Abdul Ghani, pula berkata badan berkanun terbabit berjaya membina dan membentuk istilah dalam pelbagai bidang ilmu dan berjaya menghasilkan pedoman umum ejaan dan piawai yang disepakati Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim). "Usaha membina korpus bahasa Melayu sehingga kini sudah mencapai saiz 120 juta perkataan dan masalahnya bukan lagi saiz korpus tetapi bilangan peneliti yang menggunakan korpus ini untuk membuat kajian bahasa," katanya ketika membedah Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia.

No comments: